Suasana Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dipenuhi dengan pelancong dari luar negara susulan pelaksanaan Fasa Peralihan Endemik di Sepang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 01 APRIL 2022.

PETALING JAYA – Kerajaan China mula membenarkan rakyatnya untuk berkunjung ke luar negara pada 8 Januari, tetapi tempahan pakej pelancongan dari negara itu masih sangat kecil.

Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang berkata, pelancong dari China masih mengamalkan tunggu dan lihat termasuk memerhati syarat-syarat kemasukan yang diletakkan kerajaan Malaysia.

Beliau berkata, pertanyaan mengenai pakej pelancongan yang melibatkan rakyat China pada masa ini kebanyakannya adalah melibatkan lawatan pelajar, korporat dan juga perusahaan.

Ditanya sama ada akan terdapat ramai pelancong China pada perayaan Tahun Baharu Cina, Kok Liang memberitahu Sinchew Daily,  pertanyaan tentang pakej pelancongan yang diterimanya adalah tidak banyak.

Beliau bagaimanapun berkata, jumlah pertanyaan dan jumlah pelancong China yang melawat Malaysia dijangka akan meningkat pada Mac.

Kok Liang juga menjangkakan bahawa sebanyak 1.2 juta pelancong China akan melawat Malaysia pada tahun ini dan keadaan itu juga akan membantu menjana hasil sebanyak RM3.6 bilion

Beliau menjangka akan berlaku perubahan dalam trend pelancongan dari China pada pasca pandemik termasuk dalam bentuk rombongan lawatan yang lebih kecil.

Katanya, aktiviti pelancongan juga akan menjurus kepada aktiviti lasak lembut (soft adventure) dan juga pelancongan berdasarkan khazanah alam semula jadi.

“Destinasi yang mempunyai pulau, pantai, produk berdasarkan alam semula jadi serta makanan istimewa seperti Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Kuching, Kota Kinabalu, destinasi aktiviti selam di Pantai Timur Sabah dan Terengganu akan mempunyai kelebihan.

“Bagaimanapun, pakej tradisional yang menarik perhatian pelancong China seperti taman tema, pusat beli-belah dan tempat ikonik akan terus digunakan untuk mempromosi Malaysia,” katanya.

Mengenai penerbangan, Kok Liang berkata, beliau tidak nampak syarikat penerbangan menambahkan kekerapan antara China dan Malaysia.

“Maklumat pada laman web menunjukkan Malaysia Airlines hanya menawarkan satu atau dua penerbangan langsung dari China manakala AirAsia buat masa ini tiada penerbangan yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan China,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast