ADUN Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya

KUALA LUMPUR – Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah yang enggan menandatangani akaun berkanun (SD) untuk menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor rela dipecat

Kelima-lima mereka enggan menjadi sebahagian daripada individu yang bertanggungjawab untuk menggulingkan Hajiji, lapor FMT yang memetik laporan Sabah Daily Express..

ADUN terbabit berkata, mereka lebih sanggup menubuhkan parti baharu di bawah Hajiji bagi menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Tindakan itu tidak masuk akal, jadi kami enggan menandatanganinya.

“Sebab itu ‘Langkah Sutera’ Khamis lalu gagal apabila kedua-dua Shafie dan Bung (Ketua UMNO Sabah, Bung Moktar Radin) tidak hadir ke sidang media kerana bimbang tidak mendapat sokongan untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

“Apabila ‘Langkah Sutera’ gagal, puak dengan Bung kemudian memutuskan untuk mencadangkan beliau sebagai calon Ketua Menteri dan bukan Shafie. Tetapi sekali lagi, kami tidak mahu mengambil bahagian dalam perkara itu,” kata mereka dalam laporan berkenaan.

Lima ADUN itu ialah Datuk Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk James Ratib (Sugut).

Semalam, Hajiji berkata, beliau mendapat sokongan 44 ADUN termasuk lima daripada UMNO yang menentang tindakan Bung Moktar untuk menggulingkan beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Perangai badigol orang politik yg hanya memikirkan nafsu serakah masing-masing.Mau apa lagi mereka ini..rakyat marhaen ko orang jadikan sebagai alat utk dapatkan kuasa shj.

Comments are closed.