Azli Mohd Noor

KUANTAN – Kanak-kanak lelaki Orang Asli berusia 15 tahun yang maut akibat dipijak gajah telah diserang oleh seekor gajah ketika berada di kebun durian bersama ahli keluarganya di Kampung Tual Pos Sinderut, Lipis hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

BACA: Gajah serang dua buah rumah Orang Asli di Lipis

Wanita Orang Asli maut dipijak gajah

“Polis menerima aduan berkenaan insiden tersebut di kaunter Aduan Balai Polis Sungai Koyan berdasarkan makluman daripada Tok Batin Kampung Tual Pos Sinderut.

“Serangan gajah dipercayai bermula dari Kampung Regang kemudiannya haiwan itu dihalau oleh orang kampung lalu menghala ke kawasan kebun durian Kampung Tual di mana mangsa berada,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lipis untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Terdahulu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di Facebook rasminya memaklumkan perkhabaran sedih itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anak Orang Asli maut dipijak gajah