Seorang wanita Orang Asli maut dalam diserang gajah di Kampung Simoi Baru, Pos Betau, dekat Lipis hari ini.

LIPIS – Seorang wanita Orang Asli maut dalam diserang gajah di Kampung Simoi Baru, Pos Betau, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 4.45 pagi itu, mangsa, Wak Angkat A/P Yong Tong berusia 39 tahun dipercayai tidak sempat melarikan diri ketika tempat tinggalnya diserang sekumpulan gajah.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd Noor berkata, Balai Polis Sungai Koyan dimaklumkan oleh orang awam berkaitan dengan kejadian itu.

“Hasil siasatan awal mendapati seorang perempuan Orang Asli telah meninggal dunia dan punca kematian dipercayai cedera parah akibat dipijak oleh gajah.

“Mangsa yang tinggal bersama keluarga di rumah kayu berdinding buluh terletak di kampung itu di sekitarnya terdapat pokok pisang dan berhampiran kebun getah,” katanya.

Azli berkata, semasa kejadian, seramai sembilan orang sekeluarga sedang tidur, kehadiran sekumpulan gajah yang menarik dinding dan rumah mereka bergoyang dan semua tersedar dan melarikan diri dalam keadaan gelap.

“Selepas keadaan reda, mereka berkumpul semula dan menyedari salah seorang ahli keluarga mereka tiada. Mereka mencari dan menjumpai mayat mangsa berada di dalam kawasan pokok pisang berhampiran rumah mereka,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa oleh anggota polis ke Unit Forensik Hospital Kuala Lipis untuk dibedah siasat bagi mengetahui sebab kematian.- MalaysiaGazette