Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN – Seorang pelajar perempuan dari sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini berputih mata apabila wang hasil tabungan sejak kecil berjumlah RM54,150 hilang akibat sindiket penipuan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa yang berasal dari Perak yang berusia 21 tahun itu terpedaya dengan taktik penyamaran suspek sebagai pegawai polis dan Pegawai Kementerian Komunikasi.

“Mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang kemudiannya panggilan disambungkan kepada pegawai Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Dalam perbualan, suspek telah menyatakan terdapat aduan bahawa mangsa telah membuat penyebaran iklan palsu tentang aktiviti perjudian, penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram.

“Susulan itu mangsa berasa takut telah membuat 12 kali transaksi ke tiga akaun berbeza sehingga mengalami kerugian sebanyak RM54,150,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.

Ramli mengingatkan pihak penguat kuasa tidak menjalankan apa-apa siasatan melalui panggilan telefon. – MalaysiaGazette