Barangan milik mangsa yang ditemui di kawasan perkhemahan dekat Father's Organic Farm Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 DISEMBER 2022.

PETALING JAYA – Dompet dan telefon bimbit milik seorang mangsa tanah runtuh di Batang Kali yang dilaporkan hilang sebelum ini telah dijumpai.

Suami kepada mangsa tersebut iaitu David  Ling berkata, dompet, telefon bimbit, dokumen dan juga wang tunai sebenarnya tidak hilang, tetapi disimpan dan dijaga oleh polis.

Mengenai kad Touch N Go isterinya yang dicuri dan digunakan dalam pembayaran tol pula, David berkata, polis telah menahan seorang suspek

“Polis bertindak dengan pantas dan telah menahan seorang suspek.

“Berdasarkan maklumat yang saya berikan  sebelum ini iaitu rekod transaksi kad Touch N Go, polis telah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup dan berjaya mengenal pasti dan seterusnya menahan suspek,” kata David kepada Sinchew Daily.

David merupakan suami kepada Liu Pei Si, salah seorang mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali.

David sebelum ini pernah meluahkan rasa kekecewaannya berhubung kehilangan barangan peribadi isterinya termasuk telefon yang mengandungi banyak gambar.

Mengulas lanjut, David berkata, suspek yang menggunakan kad Touch N Go isterinya pernah menghubunginya untuk berbincang malahan menghubungi kenalannya.

“Bagaimanapun,  saya menyerahkan hal ini kepada siasatan polis kerana suspek harus bertanggungjawab atas tindakannya sendiri,” katanya.

Menurutnya, polis telah memaklumkan tentang penahanan suspek yang merupakan seorang penjawat awam, tetapi tidak memberitahu dari agensi mana.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor telah memberitahu bahawa suspek bukan berasal dari jabatan itu.

Mengenai barangan peribadi isterinya yang lain, David berkata, dia dan ahli keluarga mangsa yang lain telah mengambil barangan berkenaan yang disimpan dalam sebuah bilik. – MalaysiaGazette