Petugas menggunakan vaksin jenis Sinovac untuk diberikan kepada warga emas di Hospital KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 JUN 2021. Sinovac booster dose shot Pharmaniaga
Gambar hiasan.

BANGKOK – Thailand mewajibkan pelancong antarabangsa menunjukkan bukti mereka sudah divaksin Covid-19 sepenuhnya sebelum terbang ke Thailand sebagai persediaan untuk menerima lebih ramai pelancong selepas China membuka semula sempadannya semalam.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) dalam satu kenyataan berkata, semua ketibaan asing mesti membuktikan mereka sudah divaksin atau mengemukakan surat yang mengesahkan bahawa mereka telah pulih daripada Covid-19 dalam tempoh enam bulan.

Pengembara yang tidak divaksin mesti menunjukkan sijil perubatan yang menjelaskan mengapa mereka belum menerima vaksin.

CAAT berkata,  syarikat penerbangan akan bertanggungjawab untuk memeriksa dokumen sebelum penumpang menaiki pesawat dan telah mengeluarkan senarai berapa banyak dos yang diperlukan untuk pelbagai jenis vaksin Covid-19 di laman sesawangnya.

Langkah baru itu akan kekal berkuat kuasa sekurang-kurangnya sehingga akhir Januari, kata CAAT.

Pada Oktober lalu, Thailand membatalkan syarat vaksinasi tetapi dilaksanakan semula apabila China membuka semula sempadannya berikutan kelonggaran dasar sifar Covid-19.

Jurucakap kerajaan, Traisuree Taisaranakul berkata, penerbangan komersial pertama dari China ke Thailand iaitu penerbangan Xiamen Airlines MF833 akan tiba di Bangkok dari Xiamen pada hari ini dengan membawa 286 penumpang.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan berkata, warga asing yang melancong ke Thailand dari negara di mana keputusan ujian tindak balas rantai polimerase transkripsi terbalik negatif (RT-PCR) adalah syarat diperlukan untuk  menunjukkan bukti insurans kesihatan yang merangkumi rawatan Covid-19.

Syarat kemasukan baharu itu tidak terpakai kepada pemegang pasport Thailand atau penumpang yang transit melalui Thailand. – Agensi