tiga kru nelayan Myanmar yang ditahan semalam.

KUALA LUMPUR – Sebuah bot nelayan tempatan kelas B jenis pukat tunda bersama tiga kru nelayan warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kurau, kira-kira jam 3 petang semalam.

Bot itu dikesan pada kedudukan 11.4 batu nautika barat Kuala Terung, Perak pada sekitar jam 3 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, semasa rondaan rutin di perairan Larut Matang, pasukan bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan bot itu dan dirapati untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan menemukan seramai tiga kru nelayan warga Myanmar termasuk tekong berumur antara 26 hingga 30 tahun berada di atas bot.

Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, bot mempunyai lesen dan tekong memiliki pengenalan diri yang sah namun dua kru yang lain gagal mengemukakan sebarang dokumen ketika diminta penguat kuasa.

Namun tekong tetap melanggar kesalahan kerana pemilik tidak mengusahakan sendiri bot dan tiada kebenaran menggajikan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Tekong dan kesemua kru nelayan bersama bot, peralatan menangkap ikan dan hasil ikan baja seberat 50 kilogram dirampas serta dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya serta tiada kebenaran penggunaan kru warga asing. – MalaysiaGazette
.