Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka rendah pada sesi awal dagangan hari Selasa dalam situasi sentimen bercampur-campur di Wall Street semalaman selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengunjurkan kadar faedah mungkin melebihi lima peratus tahun ini, kata seorang peniaga.

Pada 9.06 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.77 mata kepada 1,489.65 daripada 1,493.42 penutupan semalam.

Pasaran pagi ini dibuka lemah sebanyak 3.02 mata pada paras 1,490.40.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan sebanyak 127 kaunter rugi dan 120 kaunter untung manakala 247 kaunter tidak berubah, 1,717 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 159.88 juta unit bernilai RM46.71 juta.

Menurut naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, berikutan unjuran bank pusat AS, Purata Perindustrian Dow Jones merosot 113 mata manakala Nasdaq  bertambah 66 mata apabila hasil 10 tahun AS susut ke bawah ambang 3.53 peratus.

Di dalam negara, FBM KLCI diunjur mengekalkan aliran menaik selepas memperlihatkan pengukuhan sederhana.

“Justeru, aliran pergerakan adalah dalam julat 1,490-1,505 hari ini dan minat belian akan beralih kepada saham telekomunikasi dan perbankan,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, kedua-dua Maybank dan CIMB turun satu sen kepada RM8.79 dan RM5.70, Public Bank tidak berubah pada RM4.31, Petronas Chemicals susut tiga sen menjadi RM8.32 dan Tenaga Nasional turun empat sen kepada RM9.49.

Bagi saham aktif, Tanco Holdings, Hong Seng Consolidated dan Citaglobal, masing-masing bertambah setengah sen kepada 35 sen, 17 sen dan 34.5 sen, manakala GDB Holdings menokok 1.5 sen kepada 28.5 sen dan L&P Global naik dua sen kepada 59 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas lemah 23.21 mata menjadi 10,713.06, Indeks FBMT 100 menguncup 24.85 mata kepada 10,418.20 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 34.10 mata kepada 10,927.58.

Sementara itu, FBM ACE lebih rendah sebanyak 12.80 mata kepada 5,425.37 manakala FBM 70 turun 25.06 mata kepada 13,183.11

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan lebih rendah sebanyak 5.82 mata kepada 16,516.64, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.12 mata menjadi 182.39 dan Indeks Tenaga berkurangan 0.07 mata kepada 795.46.

Indeks Perladangan pula susut 11.63 mata kepada 6,956.51. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast