KUALA LUMPUR – Bilangan penganggur terus menurun kepada 600,900 orang bagi bulan November 2022, merekodkan kadar pengangguran pada 3.6 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh terus kukuh selari dengan perkembangan aktiviti ekonomi semasa. Justeru, kedudukan tenaga buruh terus berkembang pada bulan tersebut, dengan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja manakala bilangan penganggur berkurangan.

Bilangan tenaga buruh kekal meningkat pada November 2022, dengan pertambahan sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 16.71 juta orang (Oktober 2022: 16.68 juta orang), sementara kadar penyertaan tenaga buruh naik sebanyak 0.1 mata peratus mencatatkan 69.8 peratus (Oktober 2022: 69.7%).

Pada masa yang sama, menurutnya, bilangan penduduk bekerja terus meningkat sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 16.11 juta orang (Oktober 2022: 16.08 juta orang).

Kategori pekerja, yang merangkumi 75.8 peratus daripada jumlah penduduk pekerja, terus mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 0.1 peratus kepada 12.21 juta orang pada November 2022 (Oktober 2022: 12.20 juta orang).

Begitu juga, penduduk bekerja sendiri turut berada dalam trend menaik, dengan peningkatan sebanyak 0.5 peratus kepada 2.85 juta orang (Oktober 2022: 2.83 juta orang).

Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus meningkat, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong & runcit, Perkhidmatan makanan & minuman; dan maklumat & komunikasi.

Trend yang sama juga dilihat dalam sektor pembuatan, pembinaan, pertanian dan perlombongan & pengkuarian.

Mohd Uzir Mahidin berkata, pada November 2022, 81.2 peratus daripada jumlah penganggur adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif.

Kumpulan ini berada dalam trend penurunan selama enam belas bulan berturut-turut, dengan pengurangan sebanyak 0.7 peratus kepada 488,000 orang (Oktober 2022: 491, 300 orang).

Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 60.6 peratus, manakala mereka yang menganggur lebih daripada setahun adalah sebanyak 6.2 peratus.

Dalam pada itu, penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya tiada pekerjaan tersedia, meningkat sebanyak 2.0 peratus merekodkan
112,900 orang (Oktober 2022: 110.7 ribu orang).

Menurut beliau, pengoperasian berterusan kesemua aktiviti ekonomi dan sosial sehingga ke penghujung tahun 2022 telah membolehkan ekonomi negara terus berkembang pesat.

Sehubungan itu, pasaran buruh juga dijangka terus mengekalkan momentum pemulihan ke arah pasaran buruh yang lebih stabil dan akan lebih
memberangsangkan sejajar dengan perkembangan positif ekonomi semasa, terutamanya pada awal 2023. – MalaysiaGazette