Seorang ibu mengandung dibawa naik ke dalam helikopter untuk dibawa ke HTAA.

KUANTAN – Maritim Malaysia melakukan penerbangan ihsan membawa seorang wanita mengandung mengalami komplikasi dari Pulau Tioman untuk diterbangkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh
berkata, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima panggilan dari Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya pada jam lebih kurang 6.20 petang untuk memindahkan pesakit ke hospital bagi pembedahan.

Afika binti Abu Bakar, 22 dikatakan mengalami kontraksi kelahiran pramatang dan memerlukan rawatan segera di hospital.

“Helikopter jenis Agusta AW139 milik Maritim Malaysia terbang dari Stesen Udara Maritim
Subang (SUMS) tiba di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman sekitar jam 8.50 malam
untuk mengambil pesakit tersebut dan telah mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja
Malaysia Kuantan (TUDM) lebih kurang jam 9.15 malam seterusnya ke HTAA
menggunakan ambulans.

“Penerbangan ihsan ini diketuai juruterbang, Leftenan Komander Maritim Tengku Zamel
Tengku Zalwai, dibantu pembantu juruterbang Leftenan Komander Maritim
Muhammad Mahathir Ahmad serta dua kru udara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Datuk Nor Azimi Yunus berkata, penerbangan ihsan itu merupakan penerbangan kedua pada tahun ini.

“Pesakit ini tidak dapat dihantar dengan bot ambulan kerana laut bergelora pada masa ini.

“Setakat pagi ini, pesakit masih dalam perawatan untuk mengelakkan proses kelahiran pramatang,” katanya.

Terdahulu pada 4 Januari lalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerbangkan seorang ibu sarat mengandung yang tinggal kawasan pedalaman Kampung Orang Asli Chenan Cherah (lama), Pos Lemoi, Cameron Highlands ke hospital.

Kedua-dua ibu dan bayi dilaporkan selamat selepas diterbangkan oleh penerbangan ihsan itu. – MalaysiaGazette