Kapal Kargo MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang di perairan Indonesia pada 9 Januari sehingga kini gagal ditemukan.

JOHOR BAHRU – Identiti lima kru kapal Kargo MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang di perairan Indonesia, Isnin lepas, sudah dikenal pasti.

Pengarah Maritim Negeri Johor  Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata tiga daripada lima kru berkenaan adalah warganegara Malaysia iaitu pegawai kanan Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24; dua kelasi Mohammad Sudeh Sudin, 20, dan Derrent Littor, 22.

Beliau berkata dua lagi kru kapal merupakan warga Indonesia iaitu nakhoda kapal dikenali sebagai Adi, 43, serta ketua jurutera Damai Papane Ole, 57.

“Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat (MRSC) Johor Bahru telah menerima makluman dari pihak Maritime Rescue Control Centre (MRCC) Putrajaya pada 11 malam tadi bahawa pihak Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Republik Indonesia akan mengkoordinasikan pencarian kapal kargo MV Dai Cat 06 berdasarkan maklumat berkemungkinan kapal berada dalam perairan Indonesia.

“Sehingga kini, tiada maklumat terkini penemuan kapal tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Nurul Hizam dilaporkan berkata kapal kargo yang didaftarkan di Malaysia dan membawa muatan 527 batang paip bernilai RM726,205 serta lima kru, dipercayai hilang di perairan Indonesia, pada Isnin.

Laporan kehilangan kapal kargo dibuat ejen kapal terbabit pada 12.11 tengah hari, hari yang sama.

— BERNAMA