Foto: APMM

JAKARTA – Usaha mengesan kapal kargo Malaysia, MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang di perairan Pemangkat, Kalimantan Barat tidak berhasil, menurut berita tempatan.

Koordinator Pos Basarnas SAR Sintete di Kalimantan Barat, Zulhijah berkata, operasi itu dijalankan secara bersama membabitkan agensi keselamatan maritim Indonesia, Bakamla serta tentera laut Indonesia dan telah dilaksanakan pada Ahad.

Beliau berkata, koordinat ‘distress alert’ kapal itu diterima daripada Basarnas Pontianak di 01° 36.7′ N-108° 31.7′ E, yang jaraknya 42 batu nautika daripada Pos SAR Sintete.

“Kira-kira jam 9.50 pagi waktu Indonesia Barat (WIB), kami melaksanakan semakan ‘distress alert’ Dai Cat 06 di koordinat 01° 33.300′ U-108° 26.00′ BT,” katanya sebagaimana dilaporkan Pontianak Post.

Zulhijah berkata, pasukan gabungan tiba di lokasi ‘signal distress’ pukul 12.20 tengah hari tetapi tiada isyarat kecemasan dikesan dan tiada tanda-tanda kapal kemalangan atau serpihan ditemukan ketika itu.

Di titik koordinat, keadaan cuaca mendung dengan ketinggian ombak sekitar 1.2 meter dan pasukan gabungan kembali ke pos pukul 4.30 petang, katanya.

Maritim Negeri Johor hari ini mengumumkan MV Dai Cat 06 yang membawa muatan besi serta lima kru dilaporkan hilang di perairan Indonesia pada Isnin susulan satu laporan polis yang dibuat ejen kapal semalam.

Kapal kargo yang dikendalikan tiga kru warga tempatan dan dua kru warga Indonesia telah keluar dari jeti Kampung Aceh, Perak pada 23 Disember lepas dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak, pada 31 Disember.

Satu isyarat kecemasan dikesan pada 10.42 malam tadi, dipercayai daripada kapal itu di kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat, Indonesia. – Bernama