UMNO Kerajaan Perpaduan
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 12 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengakui kerjasama dengan parti-parti yang sekian lama menjadi musuh dalam membentuk Kerajaan Perpaduan bukan sesuatu yang mudah.

Bahkan, menurut beliau, ia menjadi igauan bagi setiap ahli UMNO untuk menerima DAP sebagai teman.

“Sudah banyak hati yang terguris, sudah banyak jiwa yang terluka. Tetapi hikmah kerjasama Nabi SAW dengan bukan Islam demi memastikan agama dan bangsa ini terus subur menjadi panduan kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Pada masa yang sama, Asyraf Wajdi menegaskan, UMNO tidak sesekali akan tunduk atau akur pada apa-apa tuntutan yang akan menjejaskan kedudukan Islam, Melayu-bumiputera dan institusi raja-raja.

Beliau menyatakan, perbuatan terlentang di atas jalan raya menghalang kereta sultan hanya kerana tidak mahu kerajaan sekutu mereka tumbang seperti yang pernah berlaku dahulu bukan cara orang Melayu dan UMNO.

“Kita bermusuh ada hadnya. Kita bersahabat pun berpada-pada. Maka Pemuda hendak mengingatkan kepada semua sekutu kita dalam kerajaan, andainya berhajat pentadbiran ini kekal lama, maka utamakanlah rakyat,” jelasnya.

Sebaliknya, Asyraf Wajdi memberitahu, UMNO sewajarnya menunjukkan kejayaan dan kemampuannya.

“Jangan diulang gelojoh kerajaan 22 bulan yang akhirnya memakan diri dan menjauhkan sokongan majoriti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast