KUANTAN – Seramai 802 ketua isi rumah (KIR) yang terkesan akibat banjir dan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) akan menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 selewatlewatnya 16 Februari ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan ismail berkata, keputusan itu dipersetujui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat semalam.
“Bantuan tersebut merupakan peruntukan awal RM1 juta yang disalurkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang.
“Diharapkan sumbangan kerajaan negeri ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban ditanggung mangsa banjir,” katanya.
Wan Rosdy berharap penerima BWI itu menggunakan sumbangan tersebut sebaik mungkin bagi membeli barang keperluan dan perkakasan rumah.
Katanya, sebanyak tujuh daerah yang terlibat dengan banjir pada Monsun Timur Laut baru-baru ini iaitu Lipis, Jerantut, Raub, Temerloh, Bera, Kuantan dan Pekan. – MalaysiaGazette