Datuk Armizan Mohd Ali

KAJANG – Rombakan Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah susulan kemelut politik negeri itu baru-baru ini telah dilaksanakan berdasarkan Perlembagaan Negeri Sabah dan dibarisi kepimpinan pelbagai kaum, kata Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) itu berkata, rakyat Sabah khususnya, perlu menghormati keputusan tersebut bagi menyokong operasi kerajaan negeri Sabah.

“Komposisi Kabinet rombakan ini adalah diwakili dengan baik…Sabah perlukan Kabinet yang bersatu dan Kabinet kerja untuk tunaikan tanggungjawab kepada mandat yang telah diberikan rakyat,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam, di sini, hari ini.

Armizan mengulas mengenai rombakan Kabinet Sabah yang diumumkan Ketua Menter,i Datuk Hajiji Noor semalam yang menyaksikan Hajiji tidak memegang sebarang portfolio dengan melepaskan jawatan Menteri Kewangan negeri kepada Datuk Seri Masidi Manjun.

Daripada 11 Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah itu, tujuh ahli daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dua daripada Barisan Nasional (BN) dan dua lagi daripada Pakatan Harapan (PH).

Menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Hajiji, Armizan berkata, kerajaan negeri akan terus berfungsi dengan Ketua Menteri sama yang mendapat sokongan majoriti.

Katanya, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Hajiji sebelum ini antara lain berjaya meningkatkan pendapatan negeri yang selama lebih 10 tahun berada pada paras RM4 bilion, kepada RM5.4 bilion pada 2021 dan RM6.6 bilion pada 2022.

Dalam perkembangan lain, Armizan mahu rakyat Sabah menyambut baik komitmen Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya dalam isu Perjanjian Malaysia (MA63).

Katanya, dua perkara berbangkit MA63 telah diselesaikan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini iaitu penyerahan kuasa kepada kerajaan Sabah dan Sarawak untuk meluluskan projek pembangunan bernilai bawah RM50 juta dan menurunkan kuasa bekalan gas kepada kedua-kedua negeri terbabit. – Bernama