bahtera UMNO
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan bersama Wakil Ahli Majlis Kerja Tertinggi ketika hadir ke Persidangan Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 JANUARI 2023.

PERHIMPUNAN Agung UMNO 2022 berlangsung dalam situasi parti itu dalam proses pemulihan setelah dilanda gelora yang hebat ekoran keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang paling tidak cemerlang dalam sejarahnya.

Harus diakui bahawa usaha kepimpinan UMNO yang diketuai Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk memulihkan dan menstabilkan semula parti bukan mudah.

UMNO boleh diibaratkan sebagai sebuah bahtera usang yang masih terapung namun layarnya carik, tali sauh hampir putus dan badannya bocor di sana sini. Jika tidak dibaiki segera, ia boleh karam.

Ahmad Zahid boleh sahaja mengambil jalan senang dengan akur terhadap tekanan pihak tertentu dalam parti agar beliau memikul tanggungjawab atas keputusan PRU-15 itu dan meletak jawatan.

Namun, beliau bukan jenis pemimpin yang mudah mengalah terhadap tekanan. Malah, beliau pernah berdepan tekanan yang lebih hebat selepas PRU-14 apabila diminta oleh pemimpin lawan untuk membubarkan UMNO.

UMNO di bawah era kepimpinan Ahmad Zahid juga dikatakan menghadapi ancaman dalaman daripada sekumpulan ‘broker’ yang digembar-gemburkan sebagai musuh dalam selimut dan gunting dalam lipatan.

Setiap kali kerosakan dalam bahtera UMNO dibaiki, ada sahaja dalam kalangan anak kapalnya menebuk lubang baharu bagi mencetuskan huru-hara yang membolehkan mereka mengambil kesempatan untuk merampas kemudi.

Maka, amat wajar apabila Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menggesa agar saki-baki pengkhianat yang masih berada dalam parti disingkirkan.

Dalam situasi UMNO yang masih belum stabil, Ahmad Zahid dan Mohamad memerlukan sebuah pasukan dengan tahap kesetiaan yang tinggi bagi memantapkan semula parti agar ia kembali disegani oleh kawan dan lawan.

Tindakan menggantikan barisan kepimpinan dengan muka-muka baharu yang kurang berpengalaman mungkin akan memudaratkan UMNO dalam situasi sekarang.

Lebih-lebih lagi jika muka-muka baharu itu lebih banyak beretorik sedangkan keupayaan mereka mengemudi parti dalam situasi yang amat mencabar masih belum terbukti.

Sekurang-kurangnya, nakhoda berpengalaman seperti Ahmad Zahid lebih arif membaca iklim politik semasa agar bahtera UMNO tetap teguh melayari lautan gelora berbanding mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Jika UMNO menang besar PRU, Zahid kena kekal tanpa bertanding sebab berjaya
    Jika UMNO kalah besar PRU, Zahid kena kekal tanpa bertanding kerana elak perpecahan
    Jika sebelum PRU, Zahid kena kekal untuk persiapan PRU
    Jika selepas PRU, Zahid kena kekal untuk bimbing orang baru.
    Kesimpulannya Zahid kena kekal untuk elah dia masuk penjara!

  2. apa benda yang kau mengarut ni. ko x suka umno ko pilih je parti lain tak perlu nak jadi tukang karut , tukang fitnah sana sini.

Comments are closed.