Tim Cook. foto AppleInsider

CALIFORNIA – Pakej gaji tahunan Tim Cook, Ketua Eksekutif Apple akan dikurangan lebih 40 peratus tahun ini.

Gergasi teknologi itu berkata , Cook meminta pemotongan itu dibuat selepas mendapat kritikan daripada pemegang saham.

Jawatankuasa pampasan Apple menganugerahkan beliau jumlah “pampasan sasaran” sebanyak
AS$49 juta untuk tahun 2023.

Tahun lepas saham pembuat iPhone itu jatuh mendadak dalam menghadapi isu rantaian bekalan dan kelembapan ekonomi global.

“Jawatankuasa Pampasan mengimbangi maklum balas pemegang saham, prestasi luar biasa Apple, dan cadangan daripada Cook untuk melaraskan pampasannya berdasarkan maklum balas yang diterima,” kata Apple dalam satu makluman kepada badan pemerhati kewangan Amerika Syarikat.

Langkah itu akan menyaksikan gaji pokok tahunan Cook tidak berubah pada AS$$3 juta, serta bonus sehingga AS$6 juta.

Perbezaan terbesar kepada pakej gajinya ialah bagaimana dia akan dianugerahkan saham dalam firma itu.

Pada 2022 syarikat itu memberikannya AS$75 juta saham, separuh daripadanya adalah berdasarkan prestasi Apple di pasaran saham.

Untuk tahun ini, sasaran anugerah sahamnya telah dipotong kepada AS$40 juta, dengan tiga suku daripadanya bergantung kepada prestasi saham.

Sasaran untuk pampasan Cook untuk 2022 ialah AS$84 juta, walaupun jumlah gaji sebenar beliau untuk tahun lepas ialah AS$99.4 juta.

Angka itu termasuk AS$630,600 dalam kos keselamatan peribadi dan AS$712,500 untuk penggunaan jet peribadinya.

Tahun lepas pemegang saham Apple digesa oleh kumpulan penasihat pelabur terkemuka untuk mengundi menentang pakej gaji Cook.

Dalam surat kepada pelabur, Perkhidmatan Pemegang Saham Institusi (ISS) berkata, terdapat “kebimbangan penting” terhadap “reka bentuk dan magnitud” pakej itu.

ISS berkata, gaji Cook adalah 1,447 kali ganda daripada gaji rata-rata pekerja Apple.

Cook menjadi KetuaEksekutif Apple pada Ogos 2011, hanya beberapa minggu sebelum kematian pengasas bersama Steve Jobs. – Agensi