keputusan PH
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama para perwakilan melaungkan takbir pada Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 13 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO agar parti memilih untuk bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan dan bukannya Perikatan Nasional (PN) adalah hasil pertimbangan berasaskan prinsip demokrasi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu juga sesuai dengan perlembagaan parti serta menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.

Menurut beliau, PH mempunyai jumlah kerusi Parlimen terbanyak iaitu 82 kerusi berbanding 73 kerusi yang dimenangi oleh PN.

“Rakyat telah memberikan mandat lebih besar kepada PH dan atas semangat demokrasi, kita memilih jumlah majoriti yang lebih besar.

“Setelah dibahaskan, MKT membuat ketetapan untuk memilih bersama PH bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Sekali lagi, ini adalah pembuktian bahawa, keputusan yang dibuat adalah secara bersama,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menambah, mereka yang berada dalam kerangka kepimpinan parti mengetahui dan menyedari bagaimana keputusan itu dicapai.

Beliau memberitahu, walaupun ada akujanji yang memberikan kuasa kepada ketua utama parti untuk merundingi soal penubuhan kerajaan, UMNO tetap membuat keputusan bersandarkan semangat musyawarah sesama kepimpinan.

Ahmad Zahid juga kesal dengan tindakan 10 Ahli Parlimen BN yang menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong PN tanpa merujuk kepada parti dan faktor itu menyebabkan BN tidak boleh bersama gabungan politik berkenan.

“Belum pun subuh, pengkhianatan telah dibuat terhadap parti kita. Lebih menyedihkan, ia diatur oleh orang kita sendiri.

“Sedangkan seperti yang saya sebutkan tadi, kita telah ada dokumen perjanjian dan akuan bersumpah serta akujanji, kerusi yang dimenangi adalah hak mutlak parti,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu telah memaafkan perbuatan mereka yang kini kembali bersama kepimpinan parti namun pada masa yang sama, beliau mengakui sukar untuk melupakannya.

“Namun kelompok yang bersuara ini, tidak pula menyebut Perhimpunan Agung UMNO juga membuat keputusan dan ketetapan ‘No Bersatu’. Dibangkitkan lagi tuduhan kita melanggar keputusan Perhimpunan Agung yang telah menyatakan No Anwar, No DAP,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast