azalina othman said
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menyemak semula kadar fi akuan berkanun mengikut peruntukan seksyen 4, Akta Akuan Berkanun 1960 [Akta 783].

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata, kali terakhir fi akuan berkanun ini ditetapkan adalah pada 4 Mac 1993 iaitu hampir 30 tahun dahulu, melalui warta P.U.(A) 78/93.

Fi yang ditetapkan ketika itu adalah sebanyak RM4 bagi akuan berkanun dan RM2 bagi ekshibit dalam akuan berkanun tersebut.

Pada 13 Januari 2023, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said telah menandatangani Perintah (Bayaran) Surat Akuan (Pindaan) 2023, yang mana kedua-dua kadar tersebut telah disemak semula kepada RM10.00 berkuat kuasa pada 16 Januari 2023.

Kadar baru fi ditetapkan berdasarkan semakan dan kajian terperinci yang dilaksanakan oleh kerajaan dengan pihak berkepentingan dan Pertubuhan Gabungan Pesuruhjaya Sumpah Malaysia (PESUMA).

”Penetapan terakhir kadar fi akuan berkanun adalah pada tahun 1993. Oleh itu, kerajaan telah menyemak semula kadar ini selepas mengambil kira aspek perkembangan ekonomi, kadar inflasi, kenaikan kos operasi, kenaikan fi pelantikan Pesuruhjaya Sumpah dan perbandingan dengan kadar di negara-negara lain,” kata Azalina. – MalaysiaGazette