Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

KUALA LUMPUR – Keseluruhan rangkaian komunikasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terdedah kepada capaian internet di dapati kekal selamat.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menegaskan, aktiviti penggodam telah dikesan awal dan tindakan pencegahan telah dilaksanakan sewajarnya.

Menurutnya, modus operandi kumpulan penggodam baharu yang dikesan adalah penggodam melaksanakan e-mel pancingan dengan cubaan serangan secara rawak ke rangkaian e-mel rasmi yang digunakan oleh beberapa agensi di Kementerian Pertahanan dan ATM.

”ATM sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa sebagai langkah menangani apa jua kemungkinan tindak balas serangan siber oleh anasir-anasir asing yang boleh mengganggu pengoperasian sistem siber dan teknologi maklumat dan komunikasi ATM serta Kementerian Pertahanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media yang menyatakan kumpulan penggodam baharu dikenal pasti sebagai Dark Pink menggunakan emel pancingan data dan perisian lanjutan untuk menjejaskan pertahanan tentera di Filipina dan Malaysia,serta organisasi kerajaan di Kemboja, Indonesia dan Bosnia-Herzegovina.

Bloomberg melaporkan Malaysia dan negara lain di Asia Tenggara menghadapi ancaman siber baharu daripada kumpulan penggodam yang menyasarkan data sulit kerajaan dan tentera.

Media itu melaporkan kumpulan “Dark Pink”, yang disyaki dikaitkan dengan kerajaan Asia, menggunakan perisian hasad tersuai untuk menyusup ke tujuh sasaran berprofil tinggi di Asia Tenggara dan Eropah.

Tegas Affendi, segala tindakan yang diambil bagi mencegah seterusnya, mematahkan modus operandi dan penggunaan teknologi semasa oleh penggodam yang sentiasa menjadi ancaman bukan sahaja di rangkaian pemantauan dan pertahanan komunikasi ATM malah rangkaian komunikasi strategik pertahanan negara. – MalaysiaGazette