Foto: FB Terengganu FC

KUALA NERUS – Naib juara Piala FA musim lepas, Terengganu FC (TFC) akan berkunjung ke Thailand awal bulan depan bagi sesi ‘pemanas badan’ sebelum Liga Super membuka tirainya 24 Februari ini.

Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner berkata, beliau serta barisan kejurulatihan yang baharu akan berada selama seminggu di Thailand untuk melalui empat perlawanan di negara Gajah Putih itu bagi menguji keserasian serta prestasi setiap pemain yang akan membawa cabaran skuad Penyu pada Liga Malaysia (Liga-M) dan Piala Konfederasi Asia (AFC) musim ini.

Pengendali kelahiran Croatia itu berkata, antara pasukan yang terlibat dalam perlawanan itu ialah sebuah kelab bola sepak dari Denmark dan Chonburi FC.

“Kami susun empat perlawanan di Thailand iaitu dengan Chonburi FC dan satu kelab dari Denmark. Tetapi dua perlawanan pertama masih belum disahkan lagi, mungkin daripada peringkat kedua Liga Perdana dari Thailand,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak di sini.

Steinbruckner berkata, selain Thailand, beliau turut merangka beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan termasuk Negeri Sembilan FC (NSFC), Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dan skuad KL City FC Bawah 23 Tahun (B-23) pada bulan ini.

Justeru katanya, fokus utama ketika ini ialah latihan kecergasan dan penilaian prestasi untuk memilih barisan 23 pemain terbaik bagi membarisi skuad TFC.

“Kami masih ada tiga perlawanan lagi. Kami akan ke Kuala Lumpur pada 27 Januari selama tiga hari untuk perlawanan menentang KL City FC, NSFC dan KL B-23.

“Sebelum musim baharu bermula, kami susun beberapa perlawanan di tempat sendiri kerana ia persekitaran baharu buat pemain baharu terutamanya Ivan Mamut, Sardor Mulkatov dan Dolmigoj Pusic,” katanya.

Steinbruckner yang baru dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Penyu musim ini menyenaraikan liga tonggak import baharu termasuk Mamut, Pusic, Sony Norde, Kulmatov dan Adisak Kraisorn dari Thailand yang mengisi kuota pemain ASEAN. – Bernama