Kapal yang ditahan Maritim Malaysia), Zon Maritim Tanjung Sedili kerana bersauh secara haram di perairan Johor Timur semalam.

JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tanjung Sedili telah menahan dua buah kapal kerana bersauh secara haram di perairan Johor Timur semalam.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, kapal pengangkut itu ditahan bot ronda Maritim Malaysia pada jam 1 petang di kedudukan 23.9 batu nautika (bn) timur laut Tanjung Siang setelah pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh ketika diperiksa.

Kapal pengangkut tanpa muatan itu didaftarkan di Hong Kong, membawa 19 kru lelaki termasuk nakhoda warga Filipina dan China berusia 25 hingga 53 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kapal kedua merupakan kapal tangki pula ditahan kapal ronda Maritim Malaysia di kedudukan 31 bn timur laut Tanjung Gemoh pada jam 4.10 petang kerana didapati melakukan kesalahan yang sama iaitu gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh ketika diperiksa.

“Kapal tangki yang berdaftar dari Panama itu dikendalikan 25 kru lelaki termasuk nakhoda warga Ukraine, Pakistan, Iran, Georgia, India, Filipina dan Russia berumur lingkungan 27 hingga 53 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran atau kelulusan Ketua Pengarah Laut Malaysia.

Kesalahan itu boleh membawa denda denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tegasnya lagi, Maritim Malaysia ingin menegaskan kepada pemilik, pengusaha perkapalan serta nakhoda kapal supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan yang ditetapkan dipatuhi kerana tindakan akan diambil tanpa kompromi dengan mana-mana pihak.-MalaysiaGazette

Caption: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tanjung Sedili menahan dua buah vesel kerana bersauh secara haram di perairan Johor Timur semalam.