Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kanak-kanak yang ditemui orang awam ditepi jalan simpang tiga Apartment Cheras Utama, Batu 9 Cheras, lewat malam tadi disyaki menjadi mangsa dera.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, mangsa yang berumur tiga hingga empat tahun itu kini ditempatkan di Wad Kanak-kanak Hospital Kajang bagi rawatan lanjut.

Hasil pemeriksaan awal pegawai perubatan mangsa berada di dalam keaadan sihat dan stabil.

Menurutnya, polis telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang kemudian melaporkan perkara itu kepada pihak polis melalui talian MERS999 kira-kira jam 11.30 malam.

Hasil pemeriksaan lanjut oleh pihak polis terhadap mangsa tidak menjumpai sebarang butiran atau dokumen pengenalan diri.

Pemeriksaan awal juga pada mangsa yang berpakaian lengkap ketika dijumpai disyaki merupakan anak warganegara asing kerana tiada mempunyai sebarang kesan suntikan vaksin di bahu dan mangsa juga tidak memahami serta tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa tempatan.

”Kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap dan pengadu menemui beberapa kesan kecederaan pada tubuh, tangan dan dahi kanak-kanak terbabit,” katanya di sini.

Mohd Zaid berkata, kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mempunyai elemen penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak.

Jika disabitkan kesalahan pesalah boleh dihukum denda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

Beliau menyeru orang awam atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini memaklumkan kepada pihak polis dengan menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan ataupun berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Insp Mohd Zaiyaudi Mohd Yaakub di talian 019-5355395 bagi menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette