KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut selepas dilanggar oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 5, Jalan Lipis-Merapoh 11.40 pagi tadi.
Nahas itu berlaku selepas tayar belakang dan depan pacuan empat roda dari arah Kelantan ke Kuala Lumpur pecah, menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan masuk ke jalan bertentangan dan melanggar penunggang motosikal.
Pelanggaran itu menyebabkan motosikal terbabas ke kanan jalan mengakibatkan penunggang melambung dan jatuh ke bahu jalan.
Penunggang motosikal dikejarkan ke Hospital Lipis tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 1 tengah hari tadi.
Pemandu kenderaan pacuan empat roda itu mengalami cedera ringan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette