Mohd Zaidi Aziz

KUALA LUMPUR – Satu jawatankuasa perlu diwujudkan untuk mengkaji mekanisme pemilihan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada masa akan datang.

Perwakilan UMNO Perak, Zaidi Ahmad berkata, ia bagi mengelak berlaku lebih banyak pergeseran dan perpecahan dalam kalangan pimpinan parti itu.

“Bila berlakunya pemilihan peringkat tertinggi dalam dan sebagainya, macam-macam perpecahan, pergelutan dan pergeseran berlaku.

“Sebab itu Perak ingin mencadangkan pemilihan ini hanya berlaku untuk memilih barisan MKT UMNO sahaja, kemudian mereka perlu berbincang sesama sendiri untuk memilih barisan pengurusan tertinggi parti.

“Ia mesti dilakukan dengan semangat musyawarah dalam perkara yang disepakati bersama,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di sini hari ini.

Dalam pada itu, jawatankuasa itu juga dapat mengelak perbalahan dan perpecahan itu berlaku di semua peringkat dari cawangan hingga ke UMNO bahagian dalam memilih pucuk pimpinan parti.

“Sebab itu Perak ingin mencadangkan dikaji perkara ini, kalau nak pilih ahli MKT, kita pilih jumlah tertentu sahaja. MKT yang menang itu pula perlu bermesyuarat sesama mereka, siapa nak jadi presiden, siapa timbalan presiden, siapa naib presiden, nak ada dua timbalan presiden ke atau lima naib presiden.

“Terpulang kepada mereka, jadi kita pun tak berkecamuk,” katanya lagi. – MalaysiaGazette