Foto Facebook MHF.

KUALA LUMPUR – Skuad hoki negara terpaksa akur dengan kekuatan kepada gergasi dunia, Belanda apabila tewas 0-4 pada aksi pertama Kumpulan C Piala Dunia Hoki 2023 semalam.

Pujian wajar diberikan kepada Malaysia kerana menyebabkan The Oranje yang naib juara edisi 2014 dan 2018 itu hanya meraihkan kemenangan hasil kesilapan pemain negara pada aksi di Stadium Hoki Birsa Munda.

Sepanjang 15 minit pertama, penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman menampilkan cemerlang apabila menafikan beberapa percubaan berbahaya daripada pukulan sudut penalti skuad kendalian Jeroen Delmee itu.

Namun hasrat Malaysia, No.11 dunia, untuk meneruskan kekebalan di suku kedua tidak kesampaian apabila Thijs van Dam memanfaatkan kesilapan di bahagian belakang dengan melakukan pukulan deras menewaskan Hafizuddin pada minit ke-20.

Belanda terus menggandakan kedudukan melalui Jip Janssen pada minit ke-24 selepas menyempurnakan penalti stroke disebabkan kesilapan Muhammad Amirul Hamizan Azahar.

Skuad negara kendalian A. Arul Selvaraj cuba bangkit menguasai penghujung suku masa kedua namun beberapa percubaan terutama daripada Faizal Saari gagal menembusi gawang Belanda.

Sebaliknya, Belanda yang pernah menjuarai tiga Piala Dunia itu berjaya meledak gol ketiga dan keempat perlawanan menerusi pukulan sudut penalti Teun Beins (m-48) serta jaringan padang Jorrit Croon pada minit ke-60.

Perlawanan seterusnya buat Malaysia bagi saingan Kumpulan C di Stadium Hoki Birsa Munda pada Isnin ini adalah menentang pasukan No.22 dunia dari Amerika Selatan, Chile yang tewas 1-3 kepada New Zealand hari ini. – MalaysiaGazette