MELAKA – Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh memberi bayangan sedia bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan akan datang.
Bagaimanapun, beliau masih belum membuat keputusan rasmi untuk mengisi kerusi disandang Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki itu walaupun mendapat permintaan dan sokongan tinggi untuk bertanding dalam kalangan rakan parti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau merangkap Ketua Pemuda UMNO Jasin itu berkata, beliau akan menetapkan keputusannya dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.
“Setakat ini saya masih lagi belum putuskan (bertanding Ketua Pemuda UMNO) yang dikosongkan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada pemilihan kali ini.
“Ada juga rakan-rakan juga datang jumpa saya minta bertanding, tapi beri saya ruang dan peluang dalam tempoh seminggu dua ini untuk buat keputusan dan insya-Allah kita bersedia dengan apa sekali pun, ready to fight,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.
Khamis lalu, Asyraf Wajdi dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022) mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusinya itu untuk memastikan UMNO kembali kuat dan dinakhodai oleh orang yang boleh membawa idea-idea segar dan baharu.
Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dilaporkan mengesahkan akan bertanding jawatan itu pada pemilihan parti akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Subang itu sebelum ini tampil meluahkan hasrat dan bersedia untuk memegang jawatan tersebut jika ada yang merasakan beliau layak. – MalaysiaGazette.
Sdr shahril hamdan juga berwibawa untuk jawatan ketua pemuda