Shahrir Samad Majlis Peguam SPRM LHDN
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mempersoalkan mengapa kesnya disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukannya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bekas Pengerusi Felda itu hairan kerana siasatan adalah berkaitan sama ada beliau perlu mengisytiharkan pendapatan dan membayar cukai pendapatan.

“Tapi SPRM pula mendakwa saya atas kesalahan tidak isytihar pendapatan kepada pihak LHDN!

“Kan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas seorang yang bijak dan berpengetahuan luas dalam undang-undang! Ada niat jahat?” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Pada 5 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Shahrir daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada LHDN.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membebaskan Shahrir, 73, selepas Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya tidak berhasrat untuk meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh dalam kes itu. – MalaysiaGazette