Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi membidas kenyataan P. Ramasamy yang membayangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan sahaja ‘beban’ parti itu tetapi buat Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, Ramasamy lupa bahawa beliau beban kepada DAP.

Disebabkan itu, DAP Putrajaya mendesak Jawatankuasa Eksekutif Pusat dikenakan tindakan disiplin kerana meniupkan sentimen perkauman.

Semalam, menerusi hantaran Facebooknya, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, keputusan Persidangan Agung UMNO (PAU) 2022 kelmarin yang meluluskan usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang mungkin melegakan, tetapi ia umpama duri dalam daging buat UMNO, PH dan kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Keputusan terkini PAU untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO mungkin mendapat sokongan sebulat suara, namun ada juga suara yang mahukan ia dipertandingkan.

“Ahmad Zahid mungkin dilihat terselamat buat sementara waktu, namun beliau kelihatan sebagai ‘Albatross’ (masalah berterusan yang menjadi penghalang) yang melingkari UMNO dan juga PH serta Kerajaan Perpaduan,” katanya. – MalaysiaGazette