Kit Siang naratif Hadi gagal Pas rakyat bangsa Malaysia
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang didakwa masih gagal membuktikan bahawa DAP mempromosi Islamofobia walaupun hampir dua bulan telah berlalu sejak beliau membuat tuduhan itu.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, selaku bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Abdul Hadi sepatutnya tahu bahawa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sendiri tidak menemukan amalan Islamofobia di negara ini.

“Adakah Hadi telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Duta Khas dan membuat laporan khas kepada Pemerhati Islamofobia OIC mengenai Islamofobia di Malaysia?” soalnya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam satu kenyataan pada 28 November lalu lalu, Abdul Hadi berkata; “Sikap DAP terhadap kaum bumiputera bukan Islam diminta maaf, pada masa yang sama menyebarkan Islamofobia kepada mereka.”

Ahli Parlimen Marang itu turut mengecam tindakan pemimpin-pemimpin DAP melabelkan Pas sebagai Taliban bagi memburuk-burukkan imej partinya terutamanya dalam kalangan bukan Islam.

Kit Siang juga bertanya sejak bila DAP mula mempromosikan Islamofobia sedangkan parti itu mempunyai seorang Ahli Parlimen Melayu pada 1990 dan bertambah kepada tiga orang lagi pada 2022.

“Atau adakah sebelum Pilihan Raya Umum 2013 apabila DAP enggan mencadangkan Hadi Awang sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat?” katanya.

Beliau menyifatkan tuduhan itu amat serius memandangkan DAP adalah sebahagian daripada kerajaan Persekutuan dan juga sebahagian daripada lima kerajaan negeri.

Kit Siang berkata, DAP mempunyai empat menteri, 40 Ahli Parlimen, seorang ketua menteri, seorang timbalan ketua menteri, 14 exco, dan 91 Ahli Dewan Undangan Negeri.

“Adakah Hadi sedang membuat satu fitnah yang tidak masuk akal dan tidak bertanggungjawab dalam mengatakan yang Islamofobia adalah sebahagian daripada agenda kerajaan persekutuan dan negeri di Malaysia?” katanya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menggesa Abdul Hadi menarik balik tuduhannya terhadap DAP sekiranya gagal membuktikan bahawa parti itu mempromosikan Islamofobia.

“Jika tidak, dia akan dibuktikan sebagai seorang pemimpin politik yang tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab yang sanggup membuat pelbagai bentuk fitnah demi kepentingan politiknya sendiri, seorang ahli politik yang sanggup mengetepikan kepentingan negara demi negara kepentingan politik peribadinya,” jelasnya. – MalaysiaGazette