Bas Smart Selangor mula mengenakan caj 90 sen kepada warga asing bermula 15 Januari 2023.

KUALA LUMPUR – Caj sebanyak 90 sen yang dikenakan kepada penumpang warga asing Bas Smart Selangor bukan satu diskriminasi atau penindasan.

Sebaliknya, caj tambang yang dikenakan itu bagi menampung sebahagian kos yang diperlukan oleh kerajaaan negeri untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada orang awam dan juga kos penyelenggaraan bagi mengekalkan perkhidmatan bas untuk tempoh yang lebih panjang.

SSDU Innovations Sdn. Bhd. (SSDU) dalam kenyataannya berkata, lagipun inisiatif perkhidmatan Bas Smart Selangor bertujuan memberi kemudahan pengangkutan awam yang selesa dan percuma khususnya kepada warganegara Malaysia yang berada di negeri itu.

Malah, caj tambang perkhidmatan bas serendah 90 sen kepada warga asing telah diperkenalkan sejak Mac 2021 bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain selain Petaling Jaya.

”Langkah mengenakan caj kepada warga asing ini sebenarnya adalah satu kaedah biasa sesebuah kerajaan bagi membezakan keistimewaan antara warganegara dan rakyat asing menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak kerajaan.

”Persamaan ini boleh dilihat sama seperti perkhidmatan hospital atau klinik kesihatan, yang mana caj juga dikenakan agak berbeza kepada warga asing,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

SSDU menambah, sebelum ini terdapat banyak aduan daripada masyarakat mengenai Bas Smart Selangor telah dimonopoli oleh warga asing, dan perkara ini menimbulkan perdebatan dalam masyarakat mengenai isu keselamatan dan juga hak mereka sebagai pembayar cukai.

Justeru, perkhidmatan bas Smart Selangor secara percuma kepada warganegara ini sepatutnya dilihat sebagai satu inisiatif ‘eksklusif’ di bawah kerajaan Negeri Selangor untuk rakyat menikmati limpahan kemudahan awam yang disediakan.

Malahan, pelaksanaan caj RM0.90 kepada warga asing ini sebenarnya telah lama mendapat sokongan oleh pengguna warganegara Bas Smart Selangor sejak tahun 2021 kerana caj 90 sen ini amatlah rendah jika dibandingkan dengan kelengkapan bas yang mempunyai penghawa dingin, selesa, dan bersih.

Menurut Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), hampir 15% pengguna PJ City Bus adalah terdiri daripada pengguna warga asing yang menggunakan perkhidmatan PJ City Bus.

Jumlah ini juga mungkin lebih kerana tidak termasuk data pengguna yang tidak menggunakan Scan To Ride apabila menaiki Bas Smart Selangor.

Oleh itu, sejajar dengan pelaksanaan caj 90 sen bermula 15 Januari 2023, SSDU amat komited untuk terus membantu MBPJ dan PBT lain melakukan lebih banyak hebahan mengenai kepentingan perhidmatan bas percuma dan juga caj yang dikenakan kepada warga asing. – MalaysiaGazette