Pelakon, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berjalan keluar selepas memfailkan perceraian dengan suaminya, Syamsul Yusof di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 16 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Krisis rumah tangga antara pelakon, Puteri Sarah bersama suaminya, Syamsul Yusof terus berantakan apabila beliau telah memfailkan permohonan perceraian hari ini.

Puteri Sarah,38, memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah di sini disebabkan tekanan dan gangguan pihak ketiga sehingga menyebabkan suaminya didakwa sudah lama tidak pulang ke rumah.

Berdasarkan dokumen yang difailkan, Puteri Sarah atau nama sebenar Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin membuat permohonan berkenaan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Antara alasan yang dikemukakan Puteri Sarah iaitu sudah tidak ada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalaham yang berpanjangan) dan tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.

Pelakon, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berjalan keluar selepas memfailkan perceraian dengan suaminya, Syamsul Yusof di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 16 JANUARI 2023.

Ibu kepada dua anak itu selaku plaintif memfailkan permohonan berkenaan menerusi Tetuan Akberdin & Co dan menamakan Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Shamsul Md Yusof, 39, selaku defendan.

“Tambahan pula, saya bersama anak-anak saya tidak lagi tinggal bersama suami saya, sama ada di rumah mertua saya mahu pun di rumah kelamin. Hal ini berikutan akibat tekanan dan gangguan yang berpunca daripada pihak ketiga dan hubungan sulit defendan (Shamsul) sehingga telah lama tidak pulang ke rumah.

“Saya percaya oleh kerana tiadanya persefahaman antara kedua-dua pihak maka saya percaya jika diteruskan (perkahwinan) mungkin akan mendatangkan lebih kemudaratan kepada kedua-dua pihak khususnya diri saya, emosi saya serta anak-anak,” katanya menerusi dokumen itu.

Terdahulu, pelakon Lu Pikirlah Sendiri de Movie itu hadir ke mahkamah ditemani dua adiknya pada pukul 10.20 pagi dengan memakai jubah dan diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader.

Pada Jun tahun lalu, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan saman sivil terhadap Ira Kazar, 27, atas dakwaan menerima gangguan dan ugutan daripada wanita itu menerusi media sosial.

Beliau juga berjaya memperoleh perintah injunksi daripada mahkamah antara lain bagi menghalang wanita itu menghampiri dan mengganggu plaintif, suami dan keluarganya.

Kemudian pada 6 Januari lepas, Syamsul pula mendedahkan sudah bernikah dengan Ira di Thailand berwalikan bapa pengantin perempuan iaitu pelakon, Kazar Saisi.

Susulan itu, kemelut rumah tangga mereka semakin memuncak dengan kehadiran Ira sebagai isteri kedua hangat diperkatakan sehingga trending di media sosial.

Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Puteri Sarah fail perceraian hari ini