Kamarul menunjukkan barang rampasan yang berjaya dipatahkan Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Johor dalam beberapa serbuan di negeri itu.

JOHOR BAHRU – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan penahanan 14 individu termasuk warga asing dalam sembilan serbuan berasingan di sekitar negeri itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tiga wanita tempatan berumur antara 21 hingga 48 tahun ditangkap bersama enam lelaki dan dua wanita warga asing berumur antara 27 hingga 37 tahun.

“Salah seorang daripada mastermind (dalang) ini menggunakan kereta mewah yang bernilai hampir dan lebih RM300, 000. Warga asing tapi menggunakan kenderaan tempatan.

“Memang mereka ini gunakan dadah eramin five untuk menurunkan kadar denyutan dan sebagainya. Kadar dia punya kalau pergi disko, dia akan turun dia punya limit dan dia akan jadi tenang.

“Modus operandi kegiatan pengedaran dadah dengan menjadikan kondominium gated and guarded sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan di pasaran tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang sempena kejayaan polis Johor dalam mematahkan sindiket pengedaran dadah di sekitar Johor Bahru, di ibu Pejabat Kontinjen di sini hari ini.

Tambah Kamarul, dalam operasi itu turut merampas 70, 000 biji pil eramin five seberat 22 kilogram (kg).

‘Kita juga berjaya merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai rampasan RM1,672,596.50 dan ianya boleh digunakan oleh seramai 70,329 orang penagih.

“Polis Johor juga turut menyita sebuah motokar, pelbagai barang kemas dan seutas jam dengan nilai sitaan RM398,441. Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan bagi operasi ini adalah RM2,062,010.50,” katanya.

Hasil saringan air kencing mendapati sembilan suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine manakala sembilan lagi suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 21 Januari ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette