Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan surat pelantikan Setiausaha Akhbar (SUA) kepada Zulkhairil Zainuddin Kuantan, Pahang.

KUANTAN – Bekas Ketua Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), Zulkhairil Zainuddin hari ini dilantik sebagai Setiausaha Akhbar (SUA) Menteri Besar Pahang.

Zulkhairi menggantikan Ahli Dewan Negeri Dong, Fadzli Mohamad Kamal yang kini merupakan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan surat pelantikan kepada Zulhkhairil di pejabatnya di Wisma Sri Pahang, di sini.

Jawatan sama pernah disandang Allahyarham Datuk Abdul Wahab Mohamad Ali selama hampir 27 tahun sebelum meninggal dunia pada 11 Januari 2022.

Zulkhairil berkelulusan Bachelor Komunikasi (Kewartawanan) daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) juga berpengalaman sebagai wartawan dan editor sebelum ini.

Sementara itu, Wan Rosdy turut menyerahkan surat lantikan kepada 11 Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Negeri yang disaksikan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak. – MalaysiaGazette