PUTRAJAYA – Bajet 2023 akan diubah suai secara minima dengan mengambil kira pandangan tempoh bajet, angka akhir pada September lalu selain pandangan pelbagai pihak berkepentingan, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, pengubahsuaian itu juga akan memberi ruang kepada kementeriannya serta jemaah menteri bagi menambah baik Bajet 2023 yang sedia ada.
Menurut beliau, bajet itu juga tidak perlu terikat dengan bajet yang dibentangkan oleh kerajaan sebelum ini.
“Semua aspek (diteliti) dan tidak terikat dengan belanjawan lalu walaupun kita mengambil kira cadangan yang dibuat dahulu tetapi belanjawan baharu ini sama sekali, terasnya, dasarnya, pengubahsuaiannya walaupun angka-angka pendapat tidak boleh ubah banyak.
“Dan kita ada kelebihan, belanjawan yang dahulu angka terakhirnya bulan Disember dan kita sudah sampai Januari dan ada ubah suai sikit,” katanya pada sidang media selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Ditanya apakah isu bajet yang dikemukakan pada majlis dialog itu, Anwar memberitahu, terdapat berapa perkara mendapat keutamaan dan dibangkitkan seperti gender yang menjadi hujahan.
“Selain itu, OKU (orang kelainan upaya), soal teknologi hijau dan pertanian, yang saya catat dan akan masukkan (dalam belanjawan,” katanya. – MalaysiaGazette