Datuk Seri Anwar Ibrahim.- Foto AFFAN FAUZI, 17 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) telah mengenal pasti kebocoran wang kerajaan antara RM3 bilion ke RM4 bilion yang sepatutnya boleh diselamatkan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu memberitahu, kebocoran jumlah dana itu mungkin lebih iaitu RM10 bilion yang berlaku dalam sistem perolehan kerajaan.

Dakwa beliau, kebocoran dana itu telah diambil peluang oleh segelintir parti dan tokoh politik tertentu.

“Kadang-kadang rasuah ini sistemik. Yang atas beratus juta, yang bawah, puluh ribu. Jadi macam mana nak tangani dengan cara besar.

“Saya bincang dengan Kementerian Kewangan untuk tentukan kaedah pembelian senjata yang lebih profesional. Biar urusan berkenaan untuk TUDM, TLDM, TDM, tanggungjawab untuk cari barangan terbaik dan runding antara kerajaan tanpa campur tangan dari politik atu kepentingan peniaga,” etika berucap pada Majlis Dialog Belanjawan 2023 “Membangun Malaysia Madani” di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Menurut Anwar, daripada pengalamannya, isu banjir dan peralatan, kosnya boleh dikurangkan sekiranya diserahkan kepada yang berupaya.

“Apa akibatnya? Kita alami kebocoran tinggi, belum dua bulan di Kementerian Kewangan saya kenal pasti ada RM3 bilion hingga RM4 bilion boleh diselamatkan dan bocor kepada parti dan tokoh politik.

“Kita boleh selamatkan, mungkin RM10 billion dari kebocoran yang terus berlaku dalam sistem perolehan,” katanya. – MalaysiaGazette