Gambar hiasan

KUANTAN – Polis menahan seorang wanita yang disyaki menyamar sebagai peguam dan memperdayakan seorang mangsanya sehingga melibatkan kerugian sebanyak RM191,250 semalam.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abd Rahman berkata, suspek dikatakan telah memperdaya mangsanya sehingga wanita berkenaan sanggup menyerahkan wang bagi tujuan mendapatkan peguam bagi satu kes perbicaraan.

“Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Raub telah menahan suspek lebih kurang 2 petang di Taman Impian 2, Kuala Lipis semalam.

“Hasil pemeriksaan polis telah merampas dua buah telefon bimbit dan sekeping kad ATM kepunyaan suspek yang disyaki telah digunakan bagi memperdaya mangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu polis telah  membuka satu kertas siasatan berkait kes yang sama selepas menerima laporan polis daripada mangsa.

Mohd Shahril menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam mempercayai individu yang menawarkan tawaran atau khidmat profesional dengan membuat semakan terhadap latar belakang individu terlebih dahulu. – MalaysiaGazette