Datuk Sabariah Saidan

KUANTAN – Sebanyak 261 aduan telah diterima oleh pusat khidmat aduan wanita di bawah Unit Hal Ehwal Wanita Negeri Pahang sepanjang tempoh tiga tahun.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita, dan Keluarga negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata kebanyakan aduan kes melibatkan kes sosial rumah tangga, kewangan dan sakit kronik.

“Manakala sebanyak 17 kes diterima sepanjang tahun ini bermula 1 hingga 17 Januari tahun ini,” katanya.

Menurut Sabariah, kerajaan negeri akan meneruskan fungsi pusat yang boleh dikunjungi secara bersemuka itu dan akan dikembangkan melalui talian yang akan beroperasi 24 jam bagi memudahkan aduan dilakukan.

“Pelbagai aduan diterima sejak tahun 2020 sehingga 2022 dari seluruh negeri ini dan kesemua aduan disalurkan kepada pihak berkenaan bagi menyelesaikan kes.

“Sambutan yang diberikan menggalakkan, pusat tersebut berfungsi dengan baik, jadi kerajaan menambah baik dan akan melancarkan talian aduan wanita pada Februari ini,” katanya kepada media sejurus program KPJ Qaseh di Hospital KPJ Pahang hari ini.

Pusat Khidmat Aduan Wanita beroperasi di Pusat Transformasi Bandar bermula 1 Disember 2019 hanya pada waktu pejabat jadi talian 24 jam ini bagi membantu mereka membuat aduan terutama ketika keadaan mendesak atau kecemasan.