religion conversion Loh Siew Hong children P. Ramasamy
P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang,  P. Ramasamy mempersoalkan matlamat sebenar penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Persoalan itu timbul selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan, RCI bukan untuk menyalahkan, menghukum atau memenjarakan Tommy.

“Azlina bersetuju bahawa skop tugasan pasukan petugas sebelum ini adalah terlalu menumpukan kepada Tommy sehingga mengabaikan isu perundangan dan perlembagaan yang lebih luas.

“Beliau menambah bahawa siasatan di bawah RCI bukan bertujuan untuk membalas dendam terhadap Tommy tetapi untuk meneliti perkara perundangan dan perlembagaan dalam perspektif yang lebih luas berkaitan dengan pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya.

“Sekiranya RCI tidak bertujuan untuk menyiasat dakwaan yang terkandung dalam memoir Tommy, maka apakah matlamat sebenar RCI itu?”soalnya.

Tegasnya, mengapakah ada keperluan untuk RCI membuat siasatan ke atas buku Tommy melainkan kandungannya tidak menyenangkan.

Tambah Ramasamy, Azalina mungkin berniat baik tetapi menggunakan memoir Tommy sebagai ‘pad pelancaran’ membuka ruang pandangan politik dihalakan terhadap RCI berkenaan.

“Bukannya RCI tidak penting, ia jauh lebih baik daripada menyediakan mekanisme tertentu secara tergesa-gesa untuk menyiasat isu kontroversi.

“Soalan saya mengapakah siasatan RCI terhadap memoir Tommy sedangkan terdapat banyak isu tertunggak lain yang memerlukan penelitian negara. Keadaan hubungan kaum merupakan satu bidang yang memerlukan RCI dan ada banyak isu lagi.

“Saya tidak mengatakan bahawa memoir Tommy jika ia mengandungi dakwaan yang serius tidak boleh disiasat. Siasat dengan segala cara tanpa dipandu oleh pertimbangan lain,” tegasnya.

Azalina semalam dilaporkan berkata, penubuhan RCI terhadap buku Tommy bukan bersifat balas dendam.

Sebaliknya, beliau berkata, ia adalah saluran yang lebih baik untuk menyiasat segala dakwaan yang terkandung dalam buku berkenaan, berbanding pasukan petugas khas.

“RCI adalah struktur yang lebih baik kerana ia turut membenarkan pihak berkenaan membela diri,” jelasnya.

Pada 11 Januari lalu, Azalina memberitahu, kerajaan telah bersetuju untuk menubuhkan RCI bagi meneliti secara holistik dakwaan-dakwaan dalam buku bertajuk My Story: Justice in the Wilderness nukilan Tommy.-MalaysiaGazette