KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berpandangan hasrat Malaysia Airlines membenarkan pramugarinya memakai hijab merupakan langkah proaktif untuk menghentikan stigma dan eksploitasi kepada wanita yang terlibat dalam industri tersebut.
Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, pihaknya mengalu-alukan inisiatif Malaysia Airlines melaksanakan tinjauan dalam talian untuk mendapatkan pandangan orang ramai mengenai cadangan tersebut yang bertujuan memberi ruang untuk melaksanakan ajaran agama.
Menurut beliau, usaha yang akan memandu kepada langkah konstruktif ke arah kebenaran kod pemakaian patuh syariah dalam kalangan kru penerbangan wanita itu wajar diberi pujian selaras agenda mengangkat martabat wanita dan Islam yang rahmah yang dibawa oleh kerajaan hari ini.
“Malaysia Airlines bakal menyertai beberapa lagi syarikat yang membenarkan pramugarinya menutup aurat seperti Royal Brunei Airline, Egyptair dan Air Cairo.
“Malah baru-baru ini, British Airways juga memperkenalkan seragam baharu dengan pilihan tudung untuk kru wanita,” katanya dalam kenyataan media.
Tuan Kamarul Arief memberitahu, YADIM optimis tinjauan yang akan mendapat respon positif daripada rakyat itu tidak sama sekali menjejaskan produktiviti Malaysia Airlines yang terkenal dengan slogan Malaysian Hospitality Begins With Us di seluruh dunia.
Bahkan, katanya, setiap usaha yang membawa manusia kepada pematuhan terhadap syariat Allah SWT akan mendatangkan keberkatan dan kebaikan walau sekecil mana usaha tersebut. – MalaysiaGazette