Rumah sampah yang sudah dibersihkan telah ditutup MPS.

KUALA LUMPUR  – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menutup rumah sampah di Medan Selera Greenwood dan Bazar MPS Taman Greenwood berkuatkuasa hari ini.

Bahagian Perhubungan Awam MPS dalam kenyataan berkata, tindakan itu diambil  susulan laporan MalaysiaGazette pada 15 Januari lalu bertajuk ‘Peniaga Pasar Pagi Taman Greenwood mengeluh, mendakwa pihak berkuasa tempatan (PBT) pejam mata’.

Katanya, MPS bersama pihak KDEB Waste Management Sdn Bhd dan beberapa agensi lain telah mengadakan lawatan tapak ke rumah sampah terbabit pada 16 dan 17 Januari lalu.

“Hasil pemerhatian di tapak itu  mendapati lambakan sampah yang tidak terkawal di luar tong sampah dan sekitar rumah sampah tersebut.

“Selain itu, terdapat juga sisa kelapa yang dilonggokkan oleh peniaga luar dan penjaja yang berhampiran dengan kawasan rumah sampah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pekerja KDEB Waste Management Sdn Bhd mengangkut tong sampah di rumah sampah Pasar Pagi Taman Greenwood susulan penutupannya berkuatkuasa hari ini. Foto Ihsan MPS

Tambahnya lagi, rumah sampah terbabit sebenarnya hanya dikhususkan untuk peniaga di kedua-dua blok bangunan itu sahaja.

“Malangnya, ia telah menjadi tempat membuang sisa pepejal oleh penjaja luar dan penduduk sekitar.

“Sikap para penduduk di kawasan sekitar yang tidak mahu sampah ditinggalkan di hadapan rumah sendiri dan meletakkan sisa sampah tersebut di rumah sampah menjadi punca ia berlaku.

“Lebih memburukkan keadaan, sikap sambil lewa orang ramai yang membuang sampai di luar tong menyebabkan lambakan sisa sampah yang tidak terkawal sehingga mengakibatkan bau busuk dan tumpuan haiwan perosak,” jelasnya.

Katanya, MPS telah mengedarkan notis penutupan rumah sampah serta pemakluman lokasi tong sampah baharu bagi kedua-dua blok bangunan berkenaan  kepada semua peniaga serta penyewa premis yang terlibat.

“Tong sampah MGB 240 liter akan disediakan di dalam Medan Selera Greenwood dan Bazar MPS Taman Greenwood untuk pembuangan sisa domestik harian,” jelasnya.

Kutipan sampah akan dilakukan oleh pihak KDEB Waste Management di tong sampah berpusat mengikut jadual harian.

Bagi tujuan pemantauan statik, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) akan dilakukan segera oleh syarikat yang akan dilantik, tambahnya.

MPS berharap orang ramai dapat memberi kerjasama agar masalah ini tidak berulang di masa akan datang demi kesejahteraan dan kelestarian perbandaran Selayang.

Orang ramai boleh men hubungi MPS di talian 03-6126 6024, KDEB Waste Management di talian 03-6128 3364 @ 019-3759592 atau layari www.mps.gov.my. – MalaysiaGazette