KUALA LUMPUR – Seorang pelakon lelaki popular mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang penghuni sebuah kondominium di Segambut pada Jun lalu.
Tertuduh, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim.
Mengikut pertuduhan, Sharnaaz Ahmad dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang penghuninya, Izzul Islam Awang berusia 26 tahun.
Semasa kejadian, tertuduh dan mangsa berada di kawasan lif, pintu masuk Blok C di Kondominium Changkat View, Jalan Dutamas Raya, Jinjang lebih kurang pukul 8.30 malam pada 16 Jun lalu.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal menawarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam, Datuk Abu Bakar Isa Ramat memohon mahkamah menawarkan ikat jamin rendah.
“Sharnaaz Ahmad merupakan seorang duda dan mempunyai seorang anak berusia berusia lima tahun yang dijaga bersama dengan bekas isterinya,” katanya.
Selain itu, peguam juga memaklumkan anak guamnya mempunyai jadual yang padat dan sedang menjalani penggambaran filem The Original Gangster di bawah arahan Syamsul Yusof.
Mahkamah kemudiannya membenarkan Sharnaaz dikenakan ikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 6 Mac 2023 sebagai tarikh sebutan kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette
Lain kali berlakon Muay Thai barulah buku bertemu ruas.