Barang rampasan daripada tiga individu yang menyamar sebagai anggota polis sebelum di tahan di Shah Alam pada Isnin lalu.- Gambar ihsan IPD Subang Jaya

SUBANG – Tindakan tiga lelaki menyamar polis untuk melepaskan diri ketika ditahan oleh Unit Kereta Peronda (MPV) akhirnya memakan diri.

Kesemua suspek berjaya dicekup di Lebuhraya Shah Alam (Kesas)  di sini pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, anggota MPV telah menahan sebuah Perodua Myvi dinaiki kesemua suspek pada pukul 10.10 malam.

Katanya, anggota MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menahan mereka kerana dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Semasa ditahan, salah seorang daripada suspek telah memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis kepada unit peronda namun gagal untuk mengemukakan sebarang kad kuasa sebagai membuktikan status mereka,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Tambah Wan Azlan, pasukannya telah melakukan pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan dinaiki ketiga-tiga suspek dan dan hasil pemeriksaan berjaya menemui sebuah beg berwarna hitam mengandungi gari besi, kad pas polis beserta gambar dan nombor badan, lencana besi lambang polis dan seutas rantai Polis Antarabangsa (Interpol).

“Siasatan awal mendapati, ketiga-tiga suspek merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 18 hingga 31 tahun gagal memberikan alasan munasabah berhubung semua barangan berkenaan.

“Mereka telah melakukan kesalahan menyamar sebagai polis bagi memperdaya anggota MPV yang membuat pemeriksaan dengan harapan boleh terlepas malangnya tidak berjaya.

“Semakan juga mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dan akan direman empat hari membantu siasatan lanjut,” ujarnya.

Siasatan sedang dilakukan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 89 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau dengan kedua duanya bagi kesalahan pertama. – MalaysiaGazette