SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2) jalin kerjasama bersama empat rakan industri dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mempromosi dan membangunkan produk nanoteknologi.
Kerjasama strategik bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan nanoteknologi dalam masyarakat serta menggalakkan penggunaannya sebagai sumber alternatif dalam bidang sains, pembuatan, pertanian, kesihatan, dan alam sekitar.
Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, jalinan antara industri membuktikan UPM sentiasa menyokong matlamat negara dalam bidang Nanoteknologi.
“Perkara ini selaras dengan The National Nanotechnology Policy and Strategy (DSNN) 2021-2030 untuk memacu Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi.
“Kita mahu terlibat sama membangunkan negara yang dinamik dan ekosistem nanoteknologi progresif serta menonjolkan potensi nanoteknologi untuk menyelesaikan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh negara.
“Terima kasih kepada semua syarikat yang mengambil bahagian atas minat mendalam dan sokongan yang mengagumkan untuk pembentukan intelektual bidang nanoteknologi di UPM,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama ini juga adalah hasil pencapaian kecemerlangan yang ditonjolkan oleh keupayaan dan kualiti akademik di UPM.
Sementara itu, Pengarah ION2 UPM, Profesor Dr. Mohd Nizar Hamidon berkata, MoU ini merupakan antara usaha untuk memperkasakan bidang nanoteknologi yang dapat membantu penyelidik menterjemahkan teknologi dan inovasi sebagai produk berdaya maju di pasaran.
“Melalui MoU ini kami berharap komitmen semua pihak akan dapat mewujudkan model baharu pembangunan produk R&D nano dan menjadi rujukan kepada penyelidik lain” katanya.
Kerjasama ini melibatkan empat rakan industri diwakili oleh Pengarah Eksekutif Newton Eco Technology Sdn. Bhd, Dr. Nicole Szeto, Pengurus Besar Bahagian Penyelidikan Mitsui Chemicals Singapore R&D Centre Pte. Ltd, Dr. Eiji Watanabe, Ketua Pegawai Eksekutif Serdang Paste Tech Sdn. Bhd, Muhammad Asnawi Mohd Kusaimi, dan Ketua Pegawai Eksekutif Qarbotech Sdn. Bhd, Chor Chee Hoe. – MalaysiaGazette