KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat kejutan apabila memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus selepas empat kali kenaikan OPR.
Pengekalan ini sekali gus menolak jangkaan para penganalisis yang meramalkan kenaikan sekurang-kurangnya 25 mata asas.
Kenaikan empat kali berturut-turut itu dibuat sejak Mei, Julai, September dan November tahun lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.
Menurutnya, keputusan OPR pada hari ini membolehkan MPC menilai kesan pelarasan OPR secara kumulatif memandangkan kesan sela masa (lag effect) dasar monetari terhadap ekonomi.
Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.
Artikel berkaitan: BNM mungkin tangguh atau umum kenaikan OPR pada kadar lebih kecil – Maybank IB
Langkah seterusnya untuk mengembalikan tahap akomodasi dasar monetari ke tahap yang wajar akan ditentukan oleh keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
MPC akan terus menetapkan dasar monetari yang mengimbangi risiko inflasi dalam negeri dan pertumbuhan yang mampan.
BNM berkata, di Malaysia, data terkini menunjukkan bahawa ekonomi terus berkembang pada suku terakhir tahun 2022 disebabkan oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.
Hasilnya, pertumbuhan tahun 2022 dijangka melebihi julat unjuran awal, iaitu 6.5% hingga 7.0%.
Selepas mencatatkan prestasi yang kukuh pada tahun 2022, pertumbuhan pada tahun 2023 dijangka sederhana berikutan ekonomi global yang lebih perlahan, akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri.
Perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh prospek pekerjaan dan pendapatan yang terus bertambah baik.
Menurutnya, ketibaan pelancong terus bertambah, lantas menggiatkan lagi sektor berkaitan pelancongan, malah, pelaksanaan projek infrastruktur berbilang tahun akan menyokong aktiviti pelaburan.
Risiko pertumbuhan ekonomi dalam negeri menjadi perlahan terus berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan global berikutan dasar monetari yang semakin ketat secara lebih agresif di ekonomi utama, konflik geopolitik yang semakin meruncing serta gangguan ketara pada rantaian bekalan yang kembali wujud.
Katanya, ekonomi global terus terjejas akibat tekanan kos yang kekal tinggi, kadar faedah yang lebih tinggi serta gangguan berkaitan Covid-19 di China.
Kesan faktor-faktor ini melebihi kesan sokongan daripada keadaan pasaran pekerja yang positif serta pembukaan semula sepenuhnya ekonomi dan sempadan antarabangsa.
Inflasi keseluruhan menurun sedikit daripada paras tinggi sejak beberapa bulan kebelakangan ini,bagaimanapun, inflasi teras terus kekal melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini.
Bagi menguruskan tekanan inflasi, bank-bank pusat dijangka terus menaikkan kadar faedah, meskipun pada kadar yang lebih perlahan.
Tindakan ini akan menyebabkan prospek pertumbuhan global terus menghadapi rintangan, namun begitu, pertumbuhan di China dijangka bertambah baik apabila gelombang semasa Covid-19 di negara itu reda.
Katanya, prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, termasuk ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, pertumbuhan sebenar di ekonomi utama yang lebih lemah daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara ketara. – MalaysiaGazette