Sasikala Devi bersama Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar bersama rokok bernilai RM10 juta yang dirampas dalam sidang media pagi ini.

SUNGAI BULOH- Satu sindiket aktif penyeludupan rokok tidak bercukai berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya empat lelaki dan sebanyak 143,950 karton rokok tidak bercukai kastam dianggarkan bernilai RM10.8 juta.

Rampasan dan tangkapan itu dibuat polis dalam serbuan di sebuah premis tidak bernombor di Bukit Rahman Putra di sini semalam pada jam lebih kurang 12.14 tengah hari menerusi Op Kontraban oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, hasil risikan dan maklumat awam.

Pemangku Ketua Polis Selangor Deputi Komisioner Datuk Sasikala Devi Subramaniam berkata, empat lelaki warga tempatan berusia antara 23 hingga 30 tahun itu, yang merupakan pekerja stor turut dicekup.

“Hasil pemeriksaan lanjut pasukan polis berjaya merampas sebanyak 2,455 kotak rokok dan setiap kotak mengandungi 50 karton rokok berjenama La Black serta 265 kotak dengan setiap kotak mengandungi 80 karton rokok jenama La Light.

“Jumlah keseluruhan rampasan itu melibatkan 143,950 karton dengan nilai sebelum cukai dianggarkan RM10,864 juta.

“Kita turut merampas sebuah kereta Perodua Myvi, serta dua buah lori yang disyaki digunakan oleh sindiket untuk kegiatan penyeludupan mereka,” katanya dalam sidang media kejayaan itu di IPD Sungai Buloh di sini, hari ini.

Tambah Sasikala Devi, siasatan awal polis juga mendapati sindiket berkenaan dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ untuk mengedarkan rokok-rokok seludup berkenaan untuk pasaran sekitar Lembah Klang mengikut permintaan pengguna.

Siasatan lanjut juga mendedahkan sindiket ini menggunakan modus operandi menerima pesanan menerusi aplikasi sembang maya dari sindiket tertentu dan menghantar pesanan berkenaan mengikut permintaan sindiket berkenaan.

“Premis yang diserbu itu terletak di kawasan yang agak terpencil dan ia dipercayai dijadikan stor penyimpanan rokok-rokok yang diseludup itu sebelum diedarkan.

“Polis buat masa ini masih meneruskan siasatan untuk mengesan dan menjejaki dalang utama yang bertanggungjawab di sebalik pergerakan sindiket ini yang aktif sejak Januari 2022 dengan siasatan dijalankan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Kesemua suspek berkenaan telah direman selama empat hari hingga 23 Januari ini untuk membantu kes yang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. MalaysiaGazette