DAVOS (Switzerland) – Intel telah memberi komitmen untuk melabur RM70 bilion untuk tempoh lebih 10 tahun bagi mengembangkan operasinya di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.
“Pelaburan ini dijangka mewujudkan lebih 4,000 peluang pekerjaan di Intel serta lebih 5,000 pekerjaan dalam bidang pembinaan,” kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
“Saya menyambut baik komitmen diberikan Intel dan kerjasama seumpamanya akan diteruskan dengan syarikat-syarikat lain dalam usaha meningkatkan pelaburan di Malaysia,” katanya selepas bertemu Ketua Pegawai Operasi Global Intel Kevyan Esfarjani di sini.
Intel merupakan syarikat pengeluar semikonduktor terbesar di dunia dan antara perintis industri E&E di Malaysia, operasi syarikat itu bermula pada tahun 1972.
Selain itu, Tengku Zafrul turut mengadakan pertemuan dengan Presiden P&G Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika Suranjan Magesvaran serta Naib Presiden Hubungan Kerajaan Global dan Dasar Awam, P&G Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika Cecilia Tan.
“P&G juga memberi komitmen untuk melabur lebih banyak di Malaysia. Kami juga membincangkan peluang-peluang di Malaysia,” katanya. – BERNAMA