Sulaiman Md Ali

MELAKA – Melaka menubuhkan semula Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) yang dimansuhkan lima tahun lalu dalam usaha mengurangkan kes kemalangan jalan raya di negeri ini yang semakin membimbangkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata MKJR di bawah Jabatan Ketua Menteri Melaka itu sebelum ini bertanggungjawab untuk mengatur dan melaksanakan program kesedaran serta keselamatan jalan raya sebelum ianya dibubarkan pada 3 Mei 2018.

“BIla saya ambil alih jawatan Ketua Menteri, saya lihat kadar kemalangan jalan raya meningkat dan ketika itulah baru saya dimaklumkan MKJR ini sudah dimansuhkan sekitar selepas Mac 2018.

Sulaiman (dua dari kanan) melihat pameran pada Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Tahun Baharu Cina anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Ayer Keroh, Melaka hari ini.

“Jadi saya telah mohon diberikan sebab apa dia dimansuhkan sedangkan Melaka sebagai negeri pelancongan yang mana kadar kemalangan ketika itu agak meningkat.

“Maka sebab itu saya arahkan MKJR ini ditubuhkan semula,” katanya pada sidang media selepas merasmikan MKJR negeri, Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Tahun Baharu Cina anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari, Exco Pengangkutan merangkap Pengerusi MKJR negeri, Datuk Rahmad Mariman, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramly dan Pengarah JPJ Melaka, Muhamad Firdaus Sharif.

Sulaiman melepaskan kenderaan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Tahun Baharu Cina anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, MKJR yang ditubuhkan semula itu akan meneruskan peranannya bukan sahaja untuk mengurangkan kadar kemalangan, namun juga trafik bagi mengurangkan risiko nahas.

“Banyak lagi elemen-elemen yang MKJR ini boleh memainkan peranan untuk menjayakan usaha ini bersama jabatan dan agensi berkaitan,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya beliau berkata, berdasarkan data Ops Selamat dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, sebanyak 11,325 kes kemalangan jalan raya direkodkan sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Selamat Tahun Baru Cina tahun lalu.

“Sepanjang Januari hingga September pula, sebanyak 14,381 nahas jalan raya direkodkanmelibatkan 155 kematian yang mana angka ini masih lagi di tahap yang membimbangkan.

“Justeru, penglibatan agensi-agensi kerajaan syarikat swasta serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) amat diperlukan dalam
membantu mengurangkan kemalangan, sekali gus memberi kesedaran kepada orang ramai,” katanya. – MalaysiaGazette.