Pasukan Bomba dan Penyelamat menemui jasad seorang lelaki yang dipercayai terjatuh ketika memancing bersama rakannya di Jambatan Mempatih, Lanchang pada jam 9.57 malam ditemui pagi tadi.

KUANTAN – Mayat seorang pemancing lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari Jambatan Mempatih, Lanchang pada malam Selasa lalu ditemui pasukan penyelamat hari ini.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pasukan penyelamat menemui mangsa dalam keadaan lengkap berseluar.

Katanya, Muhammad Ikram, 23, ditemui jam 8.37 pagi pada jarak 1.5 kilometer dari tempat dia  dipercayai terjatuh.

“Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan sempurna dan berseluar. Mangsa tidak memakai baju ketika terjatuh,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Kommisioner Azhar Mohd Yusoff berkata, tugasan mencari dan menyelamat (SAR) disertai oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Temerloh, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Temerloh dan dibantu penduduk sekitar.

“Operasi ini juga dibantu oleh unit anjing pengesan K9 dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Klang Lama Kuala Lumpur dan bantuan dari pihak Marin Wilayah Timur, Kuantan

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjaga keselamatan semasa menjalankan aktiviti-aktiviti ditepi sungai seperti memancing, berkelah berakit dan aktiviti-aktiviti lain sama ada pada siang atau waktu malam,” ujarnya. – MalaysiaGazette